KUALA LUMPUR: Wakil rakyat seharusnya menjalankan fungsi sebenarnya iaitu membentuk dasar yang mensejahterakan rakyat dan bukannya menaungi mereka dengan wang ringgit semata-mata.

Tegas penganalisis politik, Prof. Wong Chin Huat, budaya tersebut harus diubah kerana ia dilihat sebagai antara punca rasuah membudaya dalam masyarakat tanpa sedar menyebabkan ia sukar dibanteras.

Beliau melihat rakyat sendiri pun sudah terbiasa mengharapkan bantuan dalam bentuk wang daripada wakil rakyat dan ahli politik melihat ia jalan mudah untuk mengaburkan mata mereka.

“Kebanyakan di kawasan mundur, apa yang dilakukan wakil rakyat di Dewan tiada maknanya (bagi rakyat) tapi apa yang penting adalah keupayaan membawa balik dana kepada kawasan sama ada dana kerajaan atau daripada syarikat yang dipegang atau sebagainya.

“Untuk sebahagian besar rakyat kita, wakil rakyat tidak lain dan tidak bukan adalah ‘mesin ATM’ yang berbentuk manusia,” katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.

Maka Chin Huat merasakan hal ini dapat ditangani bermula dengan pendanaan parti politik dengan dana awam sepertimana yang diperjuangkan oleh banyak pihak seperti Bersih, IDEAS dan lain-lain.

Pendanaan awam yang dimaksudkan beliau adalah satu mekanisme di mana pembayar cukai atau rakyat akan memberikan wang kepada parti andai mereka mendapat sokongan melepasi ambang tertentu.

“Dengan ini, parti akan kurang kebergantungan kepada pendana-pendana swasta yang mungkin akan menuntut imbuhan dalam bentuk konsesi atau rasuah secara terang.”

Budaya anggap wakil rakyat 'mesin ATM' perlu diubah - Prof. Chin Huat